14 December, 2006

Ujian hidup

HIDUP kita memang penuh dengan dugaan dan ujian.Sesungguhnya apa saja yang ditakdirkan menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmahnya yang tertentu.Dalam menghadapi ujian atau musibah yang melanda diri, kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati terbuka serta penuh reda.
Dalam kitab Jami’ al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah”.
Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar kita dapat mengatasi setiap dugaan dengan penuh ketakwaan dan kebijaksanaan.Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita.

Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.
Renungilah kata-kata Abdul Kadir al-Jailani kepada anaknya: “Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku, takdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai”.

0 comments:

Post a Comment